JOHOR BAHRU, 17 Mac- Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi Projek Landasan Berkembar Gemas - Johor Bahru akan menjadi lonjakan besar dalam sistem pengangkutan rel negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam kenyataan berkata, ia juga akan melengkapkan jaringan Landasan Berkembar Elektrik di Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menghubungkan Johor Bahru, Johor ke Padang Besar, Perlis.
Di Johor, perkhidmatan ETS bagi Stesen Segamat telah bermula pada Sabtu lalu, manakala stesen Labis pada April, stesen Kluang pada Mei, dan Johor Bahru pada September.
Perkhidmatan ETS Gemas - Johor Bahru dijangka beroperasi penuh menjelang September, memendekkan perjalanan dari Kuala Lumpur Sentral ke Johor Bahru Sentral dalam 3 jam 30 minit.
Perkhidmatan tren ETS menawarkan kelajuan sehingga 160 kilometer per jam, dengan 22 perjalanan sehari dan 346 tempat duduk setiap tren.