fb fb fb fb fb

ERL dibenar tentu kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran, pacu kecekapan perkhidmatan

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 27 Februari - Pihak Express Rail Link Sdn. Bhd.(ERLSB) dibenar melaksanakan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata tindakan kerajaan melanjutkan perjanjian konsesi Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit bermula dari 2029 hingga 2059 membolehkan kerajaan tidak lagi membayar bayaran caj atau fi dari sumber pendapatan Passenger Service Charge (PSC) kepada pihak ERLSB bermula tahun 2029.

"Melalui kaedah ini, tiada lagi klausa pampasan kepada ERLSB sekiranya kerajaan tidak meluluskan permohonan kenaikan kadar tambang.

"Pelaksanaan kadar tambang berdasarkan pertimbangan pasaran ini akan memberi peluang untuk ERLSB berinovasi dalam tambang yang ditawarkan selain menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen dan setimpal dengan kadar tambang yang bersesuaian mengikut permintaan pasaran", katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai perincian konsesi tambahan baharu bagi perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit serta implikasi terbabit.

Sementara itu, dakwaan harga tiket kapal terbang ke Sabah dan Sarawak yang sedikit membebankan, Habsi berkata perkara itu tidak dapat dielakkan memandangkan perkara tersebut melibatkan isu mata wang yang memberi kesan kepada operasi pengangkutan udara.

Tambah Hasbi, kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan sentiasa memantau perkara berkenaan agar tidak membebankan pengguna.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD