fb fb fb fb fb

Enam beranak terlibat kemalangan, dua maut di LPT

(Toyota Hilux dinaiki enam beranak terbabas hingga menyebabkan dua maut)

KUANTAN, 19 November- Suami dan isteri maut selepas Toyota Hilux dinaiki mereka terbabas sehingga melanggar sebatang pokok di kilometer 200 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Kampung Paya Bungor, Kuantan, Pahang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.13 petang tadi, empat penumpang yang merupakan anak mangsa terselamat, namun mengalami kecederaan.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, mangsa yang maut ialah Mohamad Shafiq, 33 tahun dan Faieznoor Mansor, 32 tahun.

Manakala mangsa yang terselamat terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan iaitu Mohamad Danish Uqasha, 9 tahun, Dhia Medina, 5 tahun, Damiaa Melissa, 2 tahun dan seorang lagi masih belum dikenal pasti.

Menurutnya, seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dikejarkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa korban yang tersepit menggunakan alat penyelamat.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang selamat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan, sementara mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.


(Kanak-kanak yang terselamat dalam kemalangan di LPT)

 

Media Baharu