fb fb fb fb fb

Suami isteri maut dalam perjalanan pergi mengundi

(Keadaan Perodua Alza dan Toyota Hilux yang bertembung sehingga menyebabkan pasangan suami isteri maut
di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing)

KOTA TINGGI, 19 November- Sepasang suami isteri maut manakala anak mereka cedera apabila kereta Perodua Alza dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan Toyota Hilux di Kilometer 46, Jalan Johor Bahru-Mersing, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada pukul 12.08 tengah hari.

Difahamkan, pemandu kereta terbabit dalam perjalanan ke Skudai untuk mengundi setelah selesai membawa isterinya mengundi di Felda Lok Heng.

“Hasil siasatan mendapati pemandu Perodua Alza dalam perjalanan ke Skudai untuk mengundi di Skudai setelah selesai mengundi di Felda Lok Heng," katanya.

Kereta dipandu mangsa berusia 37 tahun itu kemudian terbabas semasa melalui selekoh dan berpusing di laluannya sebelum terbabas ke laluan bertentangan menghala ke Mersing serta bertembung dengan Toyota Hilux.

Jelas Hussin, semasa kemalangan berlaku keadaan jalan licin akibat hujan lebat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

(Anggota bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dalam kemalangan
di Kilometer 46 Jalan JB-Mersing)

Media Baharu