JOHOR BAHRU, 18 Julai – Sepuluh pelajar cedera selepas van sekolah dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Abdul Samad, di sini, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, kemalangan berlaku ketika van berkenaan dalam perjalanan mengambil dan menghantar pelajar ke sekolah berhampiran.
“Van dipercayai melanggar lubang pembetung di tepi jalan menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum van terbalik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kesemua mangsa berusia antara tujuh hingga 15 tahun kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Manakala tujuh pelajar lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menziarahi mangsa di HSA sejurus selepas kejadian.