fb fb fb fb fb

Enam suspek gaduh di hadapan klinik ditahan

(Siaran media IPD Taiping)

TAIPING, 14 Januari- Enam lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah klinik kesihatan di sini, sebagaimana tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, kejadian yang berlaku pada Rabu lalu itu membabitkan seorang mangsa berusia 48 tahun.

"Mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk rawatan, manakala enam suspek berusia 19 hingga 37 tahun ditahan sehari kemudian.

"Polis turut merampas sebatang rotan dan kayu disyaki digunakan dalam pergaduhan itu," katanya dalam kenyataan.

Razlam berkata, hasil siasatan mendapati pergaduhan itu berpunca daripada masalah keluarga.

"Dua daripada lelaki itu didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

"Kesemua yang ditahan itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menularkan video kejadian itu kerana kes masih dalam siasatan, selain untuk mengelak daripada mendatangkan kebimbangan terhadap orang ramai.

(Tangkap layar yang menunjukkan pergaduhan di depan Klinik Kesihatan Taiping pada Rabu/
FB Majoriti)

Media Baharu