NARATHIWAT, 2 Januari – Enam rakyat Malaysia yang ditahan reman di Penjara Narathiwat, Thailand, belum dapat dihadapkan ke Mahkamah Narathiwat hari ini kerana proses siasatan masih belum selesai.
Menurut Pakar Penologist Penjara, Panata Yongnarongdetchkul, keenam-enam mereka perlu melalui tujuh sesi soal siasat sebelum kes dibawa ke mahkamah.
Setakat ini, lima sesi telah selesai, termasuk yang terbaru dilakukan hari ini melalui sidang video dari penjara.
“Proses hari ini bermula pagi dan berakhir sekitar pukul 1 tengah hari waktu Thailand. Ini adalah prosedur biasa, di mana setiap tahanan perlu hadir ke mahkamah setiap 12 hari untuk siasatan sebelum pertuduhan dilakukan,” katanya.
Keenam-enam tahanan tersebut telah menjalani reman selama 60 hari sejak ditangkap pada 1 November lalu.
Mahkamah sebelum ini menolak permohonan jaminan mereka dan membenarkan lanjutan reman selama 84 hari seperti yang dimohon pihak pendakwaan Polis Diraja Thailand.
Sementara itu, Pengarah Penjara Narathiwat, Surin Chantep memaklumkan keluarga banduan kini dibenarkan melawat lima hari seminggu iaitu pada hari Rabu, Khamis, Jumaat, Sabtu, dan Ahad berbanding hanya pada hari Khamis sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, seorang penyanyi terkenal dari Kelantan yang turut ditahan bersama enam rakyat Malaysia lain telah mula mengikuti kelas bahasa Thailand yang dianjurkan pihak penjara sejak minggu lalu.
Panata berkata, tahanan wanita tersebut diterima baik di kalangan penghuni penjara, malah sudah mempunyai kelab peminat dalam penjara dan di Selatan Thailand.
Penyanyi itu juga diberi peluang menghiburkan penghuni penjara wanita dengan nyanyian.
“Kami memastikan semua tahanan, sama ada dari Thailand atau Malaysia, gembira dengan aktiviti yang disediakan,” ujarnya.
Setakat ini, terdapat tujuh tahanan wanita warga Malaysia daripada keseluruhan 31 rakyat Malaysia yang menjalani hukuman di Penjara Narathiwat.