LABUAN, 10 September- Enam penghuni berusia antara 12 hingga 56 tahun terselamat apabila rumah mereka musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran di Taman Lazenda 12, Kampung Durian Tunjong di sini, petang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.52 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Operasi pemadaman melibatkan 30 pegawai dan anggota serta enam jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dan BBP Layangan.
Kebakaran berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada pukul 4.48 petang sebelum tugas siasatan punca kebakaran diserahkan kepada bahagian forensik.