BINTULU, 19 Mac – Enam buah kenderaan musnah dalam kebakaran di kawasan tempat letak kenderaan Press Metal Bintulu, Taman Perindustrian Samalaju, petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.35 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba pada pukul 4.39 petang, pasukan bomba mendapati enam kenderaan telah terbakar. Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan satu aliran hos sepanjang 600 kaki dengan bekalan air dari pili bomba di kawasan kilang,” katanya.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.55 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 petang selepas pasukan memastikan keadaan benar-benar selamat.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu, manakala siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran.
Operasi pemadaman melibatkan empat anggota BBP Samalaju dengan kekuatan sebuah jentera FRT Scania, serta dibantu oleh pasukan Emergency Response Team (ERT) Press Metal yang terdiri daripada 15 anggota.