fb fb fb fb fb

Malaysia kutuk pencerobohan Israel terhadap undang-undang antarabangsa, serang orang awam

Rakyat Palestin melarikan diri ke kawasan selamat berikutan serangan dilakukan rejim Zionis Israel/ Reuters

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan udara dan bedilan peluru berpandu Israel ke atas Gaza pada Selasa sekali gus  mengingkari perjanjian gencatan senjata. 

 Wisma Puta dalam satu kenyataan memaklumkan serangan berkenaan telah meragut lebih 300 nyawa di wilayah Palestin. 

“Gelombang serangan terbaru oleh rejim Zionis Israel ini turut menyasarkan Syria, Lubnan, dan Yaman, mengakibatkan lebih banyak kematian dan kecederaan termasuk kanak-kanak serta petugas kemanusiaan.

“Tindakan agresif Israel ini jelas membuktikan bahawa rejim tersebut tidak mempunyai sebarang hasrat untuk berdamai dengan negara-negara jirannya,” menurut kenyataan itu.

Rejim Zionis Israel terus mencabuli undang-undang antarabangsa, resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), serta usaha damai yang dilakukan.

Pembunuhan berterusan terhadap orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita, dan petugas kemanusiaan, merupakan jenayah perang, genosid serta pembersihan etnik. 

“Serangan Israel ke atas negara-negara berdaulat juga menjadi ancaman serius terhadap keamanan dan kestabilan global,” tambah kenyataan itu.

Pada masa sama Malaysia terus kekal dengan pendirian menyokong penuh Palestin selain menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk melindungi orang awam serta menamatkan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang dengan memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas pelanggaran berterusan terhadap undang-undang antarabangsa.

Dalam pada itu Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berdukacita atas pembunuhan kejam lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dalam serangan udara oleh rejim Israel di Gaza.

Belia menerusi hantaran Facebook turut mendoakan keluarga terlibat dalam kejadian itu diberikan kekuatan dan ketabahan.

"Pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini, marilah sama-sama kita doakan mereka ditempatkan di kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT," menurut hantaran itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI