KUALA LUMPUR, 26 Januari- Sebanyak enam jenis barangan terkawal disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 (SHMTBC 2022).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, barangan tersebut adalah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup dan daging babi termasuk perut, daging serta lemak.
."SHMTBC 2022 berkuatkuasa Sabtu ini sehingga 4 Februari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ia merupakan antara langkah kementerian menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran semasa musim perayaan tersebut yang bermula 1 Februari ini.
Sebelum ini, sebanyak 12 jenis barangan telah ditentukan harga maksimumnya di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sedang berlangsung sehingga 4 Februari depan.
"Ia adalah ayam hidup standard dan super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat dan timun," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMTBC 2022 dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) adalah 18 jenis.
Alexander berkata, peniaga dan orang ramai boleh menyemak harga bagi barang-barang yang terlibat di bawah SHMTBC 2022 di laman web Kementerian.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi memastikan keberadaan bekalan di pasaran.
Pegawai penguatkuasa KPDNHEP juga akan sentiasa berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai bagi membuat pemantauan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim tersebut.