fb fb fb fb fb

Empat warga asing ditahan tangkap ikan tanpa kebenaran di Pulau Ketam

FOTO MARITIM MALAYSIA

SHAH ALAM, 11 Mac- Sebuah bot nelayan bersama empat lelaki warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor setelah dikesan melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa kebenaran di sekitar perairan Pulau Ketam semalam.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh menerusi satu kenyataan memaklumkan bot nelayan tempatan kelas C itu dikesan ketika melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tunda di 17.5 batu nautika barat laut Pulau Ketam pada 7 malam menerusi ‪Op Ehsan dan Op Tiris 3.0.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar yang berusia lingkungan 26 hingga 39 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua warga asing dan bot terbabit dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing di atas kapal menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji kru warga asing tanpa permit sah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE