fb fb fb fb fb

IJN seru lebih ramai penderma organ

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Lebih 380,000 individu telah berikrar untuk menderma organ sejak tahun 1997 tetapi hanya 0.02 peratus sahaja yang menjadi penderma.

Institut Jantung Negara (IJN) menyeru lebih ramai individu menjadi penderma organ untuk membantu pesakit yang memerlukan pemindahan segera.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kini terdapat 22 pesakit sedang menunggu penderma yang sesuai untuk melaksanakan pemindahan yang melibatkan jantung.

"Walaupun kita ada kepakaran, kalau tiada jantung susah kita nak perkembangkan ke hospital lain, meningkatkan jumlah tersebut jadi kita lihat inilah kerjasama bersepadu yang harus kita laksanakan bagaimana  kita Kementerian Kesihatan, IJN, pelbagai pihak kerjasama untuk pastikan kejayaan pemindahan organ di negara kita," katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas majlis 'Second Chance At Life: Successful Heart Transplant Journey' di IJN di sini.

Menurut beliau, cabaran selama 30 tahun adalah mendapatkan organ, justeru pihaknya memerlukan kerjasama daripada setiap individu yang telah berikrar untuk menderma organ.

Dalam pada itu, Noor Hisham berkata IJN komited untuk memajukan rawatan bagi kegagalan jantung dan meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ, susulan kejayaan penyelesaian dua pembedahan pemindahan jantung.

Kedua-dua pesakit remaja itu menerima pemindahan jantung pada Januari lepas dan kini semakin pulih selepas pembedahan.

Katanya, sokongan dan geran kementerian bagi program itu memanfaatkan 77 pesakit setakat ini.

Pesakit, Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif, 19, yang menunggu selama lapan bulan dan hanya bergantung kepada ubat, akhirnya menerima jantung baharu.

"Alhamdulilah apabila telah mendapat organ baharu ini, nak jalan jauh pun setakat ini berasa lebih baik dan kuat," kata Muhammad Farhan Irfan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM