fb fb fb fb fb

Empat sekeluarga maut, kereta terbabas ke laluan bertentangan, sebelum dilanggar treler

(Anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kereta yang terbabit dalam
kemalangan di Jalan Kulim Baling, Padang Meha, petang semalam/ foto JBPM)

KULIM, 28 Jun- Empat sekeluarga maut sementara dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Titi Karangan -Baling berhampiranĀ  Jalan Ladang Bukit Selarong Kulim petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Mohd Redzuan Salleh menerusi kenyataan berkata kemalangan membabitkan kereta Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah Kulim menghala ke Baling.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta dipandu oleh mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Kuala Ketil terbabas ke laluan bertentangan sebelum dilanggar treler yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Redzuan berkata, kemalangan itu menyebabkan pemandu dan isterinya yang berusia 30 tahun serta ibu mentuanya berusia 59 tahun dan bayi mangsa berusia dua bulan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat empat mangsa dibawa ke Hospital Kulim dan dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.

Sementara dua mangsa yang terselamat dipercayai adik kepada isteri mangsa iaitu remaja lelaki berusia 14 tahun dan kanak-kanak berusia dua tahun yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri itu.

Mereka dilaporkan masih dirawat di Zon Merah, Hospital Kulim.

Sementara pemandu treler berusia 57 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.


(Kereta dinaiki enam sekeluarga yang remuk selepas merempuh treler akibat terbabas/ foto JBPM)

Media Baharu