fb fb fb fb fb

Empat premis makanan di Melaka diarah tutup

MELAKA, 25 Januari - Empat premis makanan diarahkan tutup kerana gagal mematuhi dan mengabaikan aspek kebersihan, bulan ini.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr Rusdi Abd Rahman berkata arahan penutupan itu daripada keseluruhan 278 premis yang diperiksa pihaknya bagi tempoh 1 hingga 24 Januari.

Tambahnya, sebanyak 141 kompaun dikeluarkan kepada premis makanan dengan nilai keseluruhan berjumlah RM14,750 berdasarkan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Pihak kami memeriksa 278 premis makanan hingga 24 Januari dan empat premis telah diarah tutup sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan," katanya kepada pemberita selepas Op Tahun Baharu Cina di sebuah pasar raya di Jalan Balai Panjang, di sini.

Berdasarkan pemeriksaan pihaknya bagi tempoh sana di premis pasar raya, sebanyak 637 bilangan rampasan makanan dilakukan dengan nilai melebihi RM3,800.

Ia melibatkan pelbagai kesalahan termasuk pembungkusan, pelabelan serta makanan melepasi tarikh luput.

"Bagi kesalahan itu lapan kompaun dikeluarkan kepada 6 premis dengan nilai keseluruhan berjumlah RM23,500 mengikut kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985," katanya.

Mengulas lanjut, Rusdi berkata menjelang perayaan Tahun Baharu Cina, Jabatan Kesihatan sentiasa menjalankan operasi berkaitan pematuhan Akta Makanan 1983 dan penguatkuasaan Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di premis jualan sekitar negeri ini.

Media Baharu