fb fb fb fb fb

4 penghuni pondok pemulihan dadah didakwa cederakan lelaki

(FOTO RTM)

KOTA BHARU, 13 Mac-Empat penghuni di sebuah pondok pemulihan dadah persendirian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki pada 1 Mac lalu.

Keempat-empat tertuduh, Ahmad Afzam Ibrahim,31 tahun, Muhammad Firdaus Muhammad Zulkifli, 21 tahun Mohamad Aniq Zamri, 33 tahun dan Muhammad Ifran Hisam, 30 tahun masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sebatang rotan terhadap Wan Aminullah Wan Ibrahim,51.

Kesalahan dilakukan pada jam lebih kurang 9.30 malam di dalam bilik asrama di Pondok Pemulihan Dadah Persendirian, Tok Bali Bachok.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh kerana pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibolehkan tiada jaminan ditetapkan terhadap tertuduh.

Ahmad Adha dalam rayuannya memohon satu jaminan dibenarkan untuk keempat-empat anak guamnya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 untuk setiap tertuduh dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis terdekat selain tidak mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.


(FOTO RTM)

Media Baharu