fb fb fb fb fb

Empat negeri terjejas banjir libatkan 600 penduduk

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 9 Disember- Empat negeri dilanda banjir melibatkan 600 penduduk daripada 171 keluarga di negeri Pahang, Terengganu, Perak dan Kelantan, setakat pukul 4.00 petang tadi.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan, Pahang dan Terengganu mencatatkan penduduk terjejas tertinggi dengan 298 penduduk daripada 91 keluarga di Bera, Lipis dan Temerloh, manakala Terengganu melibatkan 213 penduduk daripada 58 keluarga di daerah Besut, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Di Pahang, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Semantan yang menempatkan 209 penduduk di daerah Temerloh, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit (52) dan PPS Masjid Beletik (22) di daerah Lipis, serta PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Buntar yang menempatkan 15 penduduk di daerah Bera.

Sementara di Terengganu, tiga daerah terjejas iaitu Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Besut melibatkan lima pembukaan PPS.

"PPS SK Tok Jembal dan PPS SK Bukit Nenas di Kuala Nerus menempatkan 115 dan 21 penduduk, PPS SK Aras Tol dan PPS Sk Chendering di Kuala Terengganu menempatkan masing-masing 33 penduduk, manakala PPS Surau Taman Perumahan Bukit Cina di Besut menempatkan 11 penduduk terjejas," jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, banjir di Perak melibatkan penduduk di daerah Hilir Perak dan Larut Matang dan Selama (LMS) iaitu di PPS Dewan Smart Batu 4 yang menempatkan 29 penduduk daripada lima keluarga dan PPS Serbaguna Sungai Ara menempatkan 46 penduduk daripada 13 keluarga terjejas.

Sementara itu, Kelantan mencatatkan 14 penduduk terjejas daripada empat keluarga di PPS SK Melor di daerah Kota Bharu.

(Foto fail)

Media Baharu