fb fb fb fb fb

Empat lelaki mengaku salah merusuh di Stadium Perak

(Keempat-empat mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh)

IPOH, 23 Mei- Empat lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret sini atas pertuduhan merusuh di Stadium Perak ketika perlawanan Liga Super antara Perak FC menentang Selangor FC, Sabtu lalu.

Hakim, S Punitha menetapkan Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisham, 21, Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26, dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, didenda sebanyak RM2,000 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, Mohamad Shahrul Suhami, 17, dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin antara ibu bapa atau penjaga.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan 28 Jun depan untuk sebutan kes bagi mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Hadi, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.

(Keempat-empat pesalah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh)

Media Baharu