fb fb fb fb fb

Agong berkenan terima menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi

(Al-Sultan Abdullah (KANAN) berkenan menerima menghadap Sheikh Khaled bin
Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi di Istana Negara)

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menerima menghadap kunjungan hormat Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Putera Mahkota Abu Dhabi di Istana Negara.

Turut berangkat ke sesi menghadap Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N) yang membawa gelaran Tun dan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Dihormati (D.K.) kepada Sheikh Khaled.

Sheikh Khaled kemudiannya bersama Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Upacara Penamaan Orkid sempena nama Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Yang Mulia Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan, dan nama bonda Sheikh Mohamed.

Ia merupakan satu simbolik persahabatan dan hubungan baik luar biasa antara Presiden UAE dan Yang di-Pertuan Agong.

Dua spesis orkid hibrid tersebut dinamakan Papilionanda Sheikh Mohamed dan Dendrobium Sheikha Fatima.


(Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan spesies orkid hibrid ‘Dendrobium Sheikha Fatima’
kepada Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan
yang dinamakan bersempena nama nenda Sheikh Khaled di Istana Negara )

Media Baharu