(Kesan tembakan pada cermin kenderaan mangsa)
KOTA BHARU, 20 September- Empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut ditembak di hadapan sebuah bengkel di Machang, Ahad lepas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, kesemua suspek adalah warga tempatan berusia antara 25 hingga 36 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau.
Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.
"Saya percaya mereka (suspek) boleh membantu (siasatan) dan kita telah dapat sedikit maklumat, (iaitu) sebelum kejadian ada pertelingkahan, ada perkataan-perkataan yang keluar hingga menyebabkan mungkin kepada kematian itu.
"Kemungkinan itu ada bahawa kejadian ini berlaku di sebabkan permasalahan dalam kumpulan atau dengan kumpulan lain, kita masih dalam siasatan.
"(Selain itu), mungkin ada tangkapan lain yang kita akan buat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Hasil siasatan mendapati mangsa ditembak sebanyak tujuh das pada jarak dekat pada bahagian kepala dan dada.
Setakat ini, 25 saksi sudah dirakam keterangan termasuk ahli keluarga dan rakan mangsa, serta individu yang berada di lokasi kejadian.
Polis turut merampas dua pucuk pistol dipercayai milik mangsa yang ditemui di lokasi berlainan.
Muhammad Zaki berkata, siasatan menjurus kepada pelbagai aspek termasuk kemungkinan berkaitan mangsa dengan kumpulan yang menjalankan aktiviti haram.
Berdasarkan siasatan, mangsa mempunyai 21 rekod jenayah iaitu 12 kes berkaitan dadah, manakala selebihnya di bawah jenayah lain termasuk senjata api.
(Muhammad Zaki Harun)