PUTRAJAYA, 2 November - Empat individu dilaporkan maut akibat komplikasi demam denggi pada minggu epidemiologi (ME) 43 iaitu 23 hingga 29 Oktober lalu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bilangan kes demam denggi menunjukkan penurunan sebanyak 9.5 peratus atau 154 kes iaitu 1,460 kes berbanding 1,614 kes pada minggu sebelumnya.
Katanya, walaupun bilangan kes pada ME43/22 menunjukkan penurunan, secara kumulatif setakat minggu lalu sebanyak 49,569 kes demam denggi dilaporkan berbanding 21,707 kes bagi tempoh sama tahun lalu
Tambahnya, ia membabitkan peningkatan sebanyak 27, 862 kes atau 128.4 peratus.
"Ia menyaksikan peningkatan sebanyak 27,862 kes (128.4 peratus), manakala sebanyak 33 kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan berbanding 16 kematian bagi tempoh sama iaitu peningkatan sebanyak 17 kematian (106.3 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, daripada 56 lokaliti itu, sebanyak 35 lokaliti titik panas (62 peratus); 15 atau 27 peratus di Sabah; empat (7 peratus) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala masing-masing satu (2 peratus) lokaliti titik panas dikesan di Negeri Sembilan serta Melaka.
Dr Noor Hisham berkata, survelan Chikungunya merekodkan sebanyak satu kes pada ME 43 iaitu di Selangor.
"Jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 670 kes.
"Bagi survelan Zika, sebanyak 1,655 sampel darah dan 16 sampel urin sudah dijalankan saringan Zika dan hasil semuanya adalah negatif," katanya.
Ujar beliau, nyamuk aedes adalah vektor yang efisien bagi penyebaran jangkitan demam denggi.
Katanya, nyamuk aedes mempunyai jangka hayat selama 30 hari.
"Dalam tempoh tersebut, nyamuk betina mampu bertelur sehingga enam kali serta menghasilkan di antara 60 hingga 120 biji telur nyamuk setiap kali bertelur," ujarnya lagi.
Telur nyamuk aedes yang mengandungi virus denggi dapat diwariskan kepada generasi nyamuk seterusnya melalui telur yang dihasilkan dikenali sebagai transovarian transmission.
"Oleh itu, memusnahkan tempat potensi pembiakan nyamuk aedes melalui aktiviti cari dan musnah adalah langkah terbaik untuk memastikan rantaian jangkitan demam denggi dapat diputuskan," katanya.