PUTRAJAYA, 1 Mei - Kerajaan menaik taraf sektor pekerjaan buat para pekerja dalam usaha menjana kemajuan negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia sejajar dengan komitmen kerajaan yang sentiasa menghargai sumbangan pekerja Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri berkata, antara pengiktirafan yang dipersetujui adalah kerajaan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia yang bekerja sendiri untuk mendapatkan perlindungan insurans di bawah PERKESO menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri.
"Di bawah program ini, kerajaan akan menanggung sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang perlu dicarum oleh individu terbabit," katanya sempena Hari Pekerja 2022 menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, kerajaan juga mewajibkan penyediaan Taska Tempat Kerja di setiap sektor awam kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum diperluaskan ke sektor swasta.
"Kerajaan menyediakan geran tahunan RM10 juta pada tahun 2019 dan RM30 juta sejak tahun 2020 bagi inisiatif ini yang akan memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil," tambahnya.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju melaksanakan Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia, MyEzCover.com yang bermula hari ini.
"Ia adalah pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah, ditawarkan kepada penjawat awam sebelum diperluaskan kepada sektor swasta," menurutnya lagi.
Tambahnya, program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama PERKESO dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
"Penetapan gaji minimum RM1,500 yang berkuatkuasa hari ini pula merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi yang tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara," katanya.
Katanya, kerajaan yakin warga pekerja Keluarga Malaysia akan kekal berdaya tahan dan terus menjadi rakan strategik dalam membangunkan ekonomi negara.