fb fb fb fb fb

Elak persepsi negatif dalam pelantikan Ketua Hakim Negara

Shahrulazwad Ismail/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 19 Julai - Pelantikan Ketua Hakim Negara yang baharu tidak seharusnya menjadi polemik dan menimbulkan sebarang persepsi.

Peguambela dan Peguamcara, Shahrulazwad Ismail berkata, ia sebaliknya perlu dilihat sebagai satu proses sah termaktub dalam Perlembagaan serta mengambil kira pelbagai faktor termasuk kelayakan dan pencapaian individu berkenaan.

Tambahnya, keupayaan individu melaksanakan tugas secara bebas, profesional dan adil merupakan aspek yang paling utama.

“Pada asasnya, sama ada seseorang itu merupakan 'underdog' atau senior, kesemua calon yang terlibat adalah hakim berpengalaman sekurang-kurangnya 10 tahun dalam bidang kehakiman.

"Justeru, pada pandangan saya, pemilihan ini tidak seharusnya dijadikan isu besar walaupun ramai hakim lain turut memiliki kelayakan yang setara. Sekiranya keputusan dibuat berdasarkan budi bicara, maka sewajarnya kita hormati pemilihan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM.

Sementara itu, mengenai perlantikan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi, Shahrulazwad turut menyambut baik perlantikan berkenaan serta menyifatkan sebagai satu keputusan berasaskan kelayakan dan bukan semata-mata kerana kedudukan senioriti.

“Asalkan seseorang itu memiliki pengetahuan dan pengalaman yang mencukupi, isu sama ada beliau seorang hakim senior atau tidak, tidak seharusnya dipersoalkan.

"Yang lebih penting ialah pencapaian individu tersebut, kerana setiap hakim mempunyai rekod prestasi yang berbeza. Tidak semestinya yang paling senior akan dilantik sebagai Ketua Hakim Negara atau Ketua Hakim Besar Malaya dan sebagainya.” ujarnya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN