fb fb fb fb fb

Tengku Permaisuri Selangor dimasyhur Canselor UIS pertama

Foto BERNAMA

BANGI, 19 Julai - Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Islam Selangor (UIS) yang pertama.

Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Canselor itu disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bersempena Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen ke-27 UIS di Kajang, hari ini.

Terdahulu, baginda berdua berangkat tiba di Dewan Sultan Idris Shah UIS pada 9 pagi dengan diiringi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pada istiadat itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan watikah pelantikan Senator Datuk Salehuddin Saidin sebagai Pro Canselor I dan Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa sebagai Pro Canselor II.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin ketika bertitah mengingatkan pelajar tajaan kerajaan negeri dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) supaya mempelajari dan menguasai bahasa Arab di universiti Islam tempatan terlebih dahulu sebelum melanjutkan pengajian ke universiti di negara Asia Barat.

Baginda menegaskan langkah itu penting bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dari segi kemahiran bahasa dan kefahaman asas sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di luar negara.

Pada 10 Mei lepas, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook memaklumkan kerajaan Selangor dan LZS tidak lagi meneruskan penajaan pengajian peringkat ijazah pertama ke Asia Barat mulai tahun ini, namun tajaan bagi pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah masih diteruskan.

Baginda bertitah kerajaan negeri menumpukan penajaan kepada pelajar universiti Islam tempatan seperti UIS kerana universiti Islam di negara ini juga berkeupayaan menyediakan pendidikan berkualiti tinggi.

“Beta menyedari terdapat pihak-pihak yang tidak setuju dan mengkritik ketetapan dan dasar baharu ini kerana masih ramai ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menyambung pelajaran di universiti di Asia Barat.

“Namun demikian, Beta berpendapat bahawa dalam situasi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS telah menyediakan banyak sekolah agama di negeri Selangor yang mempunyai tahap pencapaian akademik yang baik di samping menghasilkan pelajar-pelajar cemerlang, maka adalah bersesuaian untuk kita manfaatkan pelajar-pelajar cemerlang ini untuk ditempatkan di UIS yang telah kita wujudkan sebagai Institusi bagi kesinambungan pembelajaran pelajar-pelajar cemerlang ini,” titah baginda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin turut berkenan memasyhurkan UIS secara rasmi berstatuskan universiti dan dikenali sebagai Universiti Islam Selangor serta menamakan pusat konvensyen universiti sebagai Dewan Sultan Idris Shah Universiti Islam Selangor.

Pada istiadat itu juga Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan skrol kepada 50 graduan pascasiswazah dengan 31 daripadanya ialah graduan Ijazah Doktor Falsafah dan 19 lagi graduan Ijazah Sarjana.

Sebanyak 1,528 graduan pelbagai peringkat pengajian akan menerima skrol pada istiadat yang berlangsung secara rasmi bermula hari ini hingga 21 Julai. -BERNAMA

MASNIZA AWANG KECHIK