BESUT, 29 Jun – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti cadangan supaya perjalanan pelajar universiti dibuat pada waktu siang dan tidak lagi pada waktu malam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, berkata langkah itu antara pendekatan menyeluruh bagi menjamin keselamatan pelajar agar tragedi pada 9 Jun lalu tidak berulang kembali.
“Kerajaan telah mengambil tindakan terhadap soal kecuaian pemandu sendiri, dan seperti yang kita lihat dalam kes ini, amat menyedihkan sehingga mengorbankan 15 orang tersebut.
"Jadi kita terus ambil langkah-langkah perlu termasuk bukan hanya dari segi jalan, soal kenderaan dan juga pemandu, tetapi juga di peringkat pengurusan yang perlu kita perkemaskan,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga Allahyarhamah Nurly Sahirah Azman di Kampung Kerandang, di sini hari ini.
Allahyarhamah Nurly Sahirah merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Tambah beliau, setiap IPT perlu memantau sebarang tindakan pelajar masing-masing yang mengambil inisiatif sendiri termasuk menyewa bas persiaran untuk pulang ke kampung semasa musim cuti.
"Saya minta pihak universiti supaya ada komunikasi dan langkah-langkah yang diambil (pelajar) sendiri itu dipantau oleh mereka (IPT)," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata sebanyak RM1.7 juta berjaya dikumpul hasil sumbangan pelbagai pihak bagi membantu keluarga mangsa.
Daripada jumlah itu, setiap keluarga mangsa yang terkorban menerima RM10,000.
Manakala RM5,000 diberikan kepada pelajar yang cedera dalam tragedi berkenaan.