fb fb fb fb fb

Kerajaan Negeri diseru laksana Enakmen Perhutanan Negeri

Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Taman Botani Negara di Taman Botani Negara, Shah Alam

SHAH ALAM, 29 Jun- Kerajaan Negeri diseru supaya segera melaksanakan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan Negeri untuk memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan hutan di seluruh negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, sehingga kini hanya Wilayah Persekutuan dan Perlis yang telah menerima pakai sepenuhnya pindaan tersebut.

Pelaksanaan menyeluruh adalah penting bagi memastikan pengurusan hutan negara lebih mampan dan selaras di peringkat persekutuan serta negeri.

'Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan negara.

"Justeru, Kerajaan beriltizam untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah dilitupi pokok-pokok dan kawasan hutan selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992," katanya.

Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata demikian dalam ucapan merasmikan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok Sempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2025 Peringkat Kebangsaan di Taman Botani Negara di Taman Botani Negara, di sini.

Beliau turut memaklumkan, Peruntukan Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT) juga turut dipertingkat kepada RM250 juta pada tahun ini berbanding RM200 juta tahun lepas.

Insentif itu bagi membantu kerajaan negeri untuk mengenal pasti dan melaksanakan projek-projek berimpak tinggi bagi tujuan konservasi selaras dengan enam skop pelaksanaan projek EFT serta melindungi kawasan hutan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI