KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Proses bedah siasat dan pengurusan mayat tiga mangsa yang terkorban dalam kejadian bot terbalik di perairan Pulau Perhentian, Besut selesai sekitar pukul 4.30 petang di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Kesemua jasad telah diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk disemadikan di kampung halaman mereka.
Mangsa terdiri daripada seorang bapa dan anak iaitu Arumugam A/L Sativelo, 40 tahun dan anaknya, Surmatika Anumusan, 3 tahun, yang akan dibawa pulang ke Butterworth, Pulau Pinang, manakala seorang lagi mangsa, Vennpani A/P Vijeya Raj, 10 tahun, akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah.
Suasana hiba menyelubungi kawasan Jabatan Forensik HSNZ, dengan kehadiran keluarga terdekat yang masih terkesan dengan tragedi berkenaan.
Menurut Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu, Dr K. Balachandran, kesemua mangsa terdiri daripada empat keluarga bersaudara yang dikatakan sedang menikmati makan malam di Pulau Perhentian Kecil sebelum menaiki bot untuk kembali ke penginapan mereka di Pulau Perhentian Besar.
“Mangsa yang terselamat dan ahli keluarga masih dalam keadaan trauma,” katanya ketika ditemui pemberita.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam semalam, bot yang membawa 15 penumpang berusia antara tiga hingga 40 tahun terbalik selepas dipukul ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.
Tragedi itu mengorbankan tiga nyawa, manakala seorang lagi mangsa kini dilaporkan dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSNZ.