PUTRAJAYA, 17 Mac- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa semua pihak harus mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan, kegelisahan awam atau mencemarkan kemuliaan Rasulullah S.A.W, sekali gus memastikan keharmonian umat Islam di negara ini terpelihara.
Sehubungan itu, JAKIM menggesa pemilik akaun Facebook, Ainon Mohd, untuk menurunkan kenyataan yang mengaitkan dirinya dengan Nabi Muhammad S.A.W dalam satu hantaran di media sosial baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, JAKIM menegaskan bahawa individu terbabit telah dinasihati supaya lebih berhati-hati dalam memuat naik kandungan berkaitan Islam serta merujuk pihak berautoriti bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat.
Teguran itu disampaikan dalam satu pertemuan yang turut disertai pegawai dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.