KUALA LUMPUR, 25 Disember - Malaysia mencatat pertumbuhan eksport perabot ke Amerika Syarikat (AS) sebanyak 3.8 peratus kepada RM5.7 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara pembekal utama ke pasaran itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Abu Bakar Yusof berkata, peningkatan itu turut melonjakkan bahagian pasaran Malaysia di AS kepada 49.5 peratus berbanding 47 peratus sebelum ini.
"Prestasi positif itu dipacu oleh pertumbuhan kukuh dalam tiga subsektor utama, iaitu komponen perabot yang mencatat peningkatan RM165.4 juta, diikuti perabot kayu sebanyak RM142.1 juta, dan tempat duduk berbingkai kayu sebanyak RM67.8 juta" katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, Malaysia kini merupakan pembekal perabot keenam terbesar ke AS dengan pegangan pasaran sebanyak 2.4 peratus, mencerminkan kekuatan dan daya tahan sektor perabot negara walaupun berdepan tekanan ekonomi global.
Menurutnya, industri perabot tempatan terus membuktikan keupayaan dan daya saing melalui penghasilan produk berkualiti tinggi, selain komitmen kukuh terhadap amalan kelestarian serta pematuhan kepada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Situasi tarif global semasa membuka peluang baharu kepada Malaysia, apabila pembeli dari AS mula mengalihkan sumber bekalan ke negara seperti Malaysia." katanya.
Seiring perkembangan itu, MATRADE menjalinkan inisiatif strategik bersama gergasi e-dagang global dari AS, Wayfair, bagi membantu pengeksport tempatan meraih bahagian pasaran yang lebih besar dalam pasaran perabot AS yang bernilai tinggi.
Menerusi kerjasama itu, ia dapat membantu pengeksport Malaysia menembusi pasaran perabot AS bernilai AS$200 bilion, dengan pembelian dalam talian kini mewakili lebih separuh daripada jumlah jualan (AS$115 bilion).