fb fb fb fb fb

JAWI diarah lakukan siasatan, tindakan lanjut susulan lelaki berpakaian wanita

Tangkap layar video tular lelaki berpakaian wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa di ibu negara

PUTRJAYA, 25 Disember - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah melakukan siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada susulan tindakan seorang lelaki warga tempatan berpakaian wanita semasa menghadiri sebuah majlis bertaraf antarabangsa pada 21 Disember lalu di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan dalam satu kenyataan memaklumkan perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat.

"Perbuatan tersebut telah mengundang reaksi negatif masyarakat dan disifatkan sebagai mencabar sensitiviti agama serta norma budaya di negara ini.

"Dari perspektif Islam, perbuatan menyerupai jantina lain adalah bercanggah dengan syariat dan tidak wajar dinormalisasikan dalam masyarakat," menurut kenyataan itu.

JAWI juga diminta bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menurunkan kandungan berkenaan di media sosial.

Pada masa sama, pendekatan dakwah dan pencegahan akan terus diperkukuh melalui khutbah, program keagamaan dan penyampaian di media sosial bagi meningkatkan kefahaman masyarakat serta memelihara keharmonian dan nilai budaya negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI