fb fb fb fb fb

Eksploitasi kanak-kanak untuk seks, pasangan suami isteri dan empat lelaki didakwa

TEMERLOH, 6 Januari- Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang kanak-kanak bawah umur untuk eksploitasi seks.

Manakala empat lagi lelaki lain didakwa merogol dan mencabul seorang kanak-kanak bawah umur.

Bagamanapun, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Tertuduh Mohd Rizal Hamzah, 38, berdepan lapan pertuduhan manakala isterinya Intan Wahidah Mohd Nor, 47 berdepan tujuh pertuduhan.

Pasangan itu didakwa mengikut seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2017 yang dibaca bersama seksyen 34 kanun keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.

Pasangan berkenaan turut melakukan kesalahan pengantunan seksual dan didakwa mengikut Seksyen 12 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan sebatan.

(Sepasang suami isteri dan empat lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh)

Empat tertuduh lain, Mohd Abdul Hafis Endut, 37 berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Ahmad Ridzuan Ismail, 41 berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan.

Mohd Ismail Burhan, 42 berdepan tiga pertuduhan dan didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, Seksyen 377C dan Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Manakala Kamaruzaman Basir, 57 berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara April hingga September lalu di Felda Purun, dekat Bera.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Afidatul Azwa Kamarul Anuar Dan Faizah Khalilah Zaberi.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Mereka dibenarkan ikat jamin antara RM6,000 hingga RM35,000 dengan syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa sehingga kes selesai.

Media Baharu