fb fb fb fb fb

Cawangan ke-68 Bank Muamalat di Indera Mahkota

KUANTAN, 6 Januari- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) mengorak langkah memperluaskan cawangan dengan pembukaan cawangan baharu ke-68 di Indera Mahkota, Kuantan, Pahang.

Cawangan kelima di Pahang itu telah mula beroperasi sejak Disember lalu dengan jumlah transaksi perniagaan melebihi RM8 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, pembukaan cawangan terbaharu itu akan memberikan perkhidmatan perbankan lengkap kepada kira-kira 248,946 penduduk sekitar.

Katanya, Bank Muamalat Indera Mahkota berada di lokasi strategik kerana ia berdekatan dengan pusat pentadbiran negeri Pahang baharu serta di kawasan perdagangan dan kediaman yang berkembang maju.

Cawangan terbaharu di Indera Mahkota menyediakan perkhidmatan seperti akaun deposit, akaun pelaburan, pembiayaan seperti pembiayaan rumah, peribadi dan perniagaan pengurusan pelaburan konsumer.

"Sejak mula beroperasi kita ada lebih kurang 300 pelanggan menunjukkan bahawa ada keperluan untuk kita mengadakan satu cawangan di kawasan ini.

"Seperti yang kita sedia maklum bank adalah tempat membuat pelaburan, simpanan wang serta membuat pinjaman sekiranya perlu," katanya pada majlis perasmian Bank Muamalat cawangan Indera Mahkota yang dirasmikan Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Terdapat lima cawangan Bank Muamalat di Pahang iaitu di Mentakab, Temerloh, Pekan, Bandar Kuantan dan Indera Mahkota.

Pada majlis itu Bank Muamalat turut menyumbangkan RM10,000 kepada lima buah masjid dan rumah kebajikan dalam daerah Kuantan.

(Foto hiasan)

Media Baharu