KUALA LUMPUR, 11 Mei - Rakyat menolak isu yang berbaur perkauman, agama dan institusi diraja (3R).
Malah tiada sebarang keuntungan atau habuan diperoleh mereka yang cuba mengeksploitasi perkara tersebut.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan mana-mana pihak boleh mengkritik kerajaan disokong dengan hujah dan fakta tanpa menyentuh isu 3R terutama melibatkan institusi Raja.
"Perdana Menteri telah beberapa kali menyebut tidak menjadi masalah untuk mengkritik kerajaan tapi jangan menyentuh isu 3R terutama aspek yang melibatkan institusi raja-raja, sekiranya disentuh maka tindakan penguatkuasaan yang paling tegas akan diambil," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Saringan Kesihatan Lembah Pantai di IWK Eco Park @ Pantai Dalam, di sini.
Tambah Fahmi, rakyat Malaysia secara umumnya dilihat lebih tenang bahkan akan menolak mana-mana pihak termasuk pemimpin yang mengasak serta memainkan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.