IPOH, 25 Julai- Sepasang suami isteri dicekup dalam dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini kerana disyaki terlibat dengan aktiviti mengedar dadah, Khamis lalu.
Polis turut merampas dadah bernilai RM2 juta.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 34 tahun itu di sebuah pusat makanan di Jalan Raja Musa Mahadi.
Sementara isterinya, wanita warga Vietnam berusia 38 tahun itu ditahan di tepi jalan sekitar Panorama Lapangan Perdana pada kira-kira 4.40 petang.
"Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dipandu suspek lelaki menemukan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine.
"Pemeriksaan susulan telah dilakukan di sebuah kereta di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di sekitar Ipoh dan menjumpai 10 bungkusan plastik disyaki dadah jenis sama," kata Mior.
Tambahnya, polis turut menyita seutas jam tangan berjenama, rantai kaki, sebentuk cincin serta seutas rantai tangan manik. Anggaran jumlah keseluruhan harta yang disita bernilai RM83,315.
Mior Faridalathrash berkata ujian air kencing ke atas suspek lelaki yang bekerja di kedai cermin dan aluminium didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala suspek wanita yang tidak bekerja itu didapati negatif dadah serta kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Beliau berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 200,000 penagih dan dadah tersebut dipercayai untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang aktif mengedar sejak tiga bulan lepas direman seminggu sejak Jumaat lepas sehingga Khamis ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
(Dadah jenis methamphetamine dismebunyikan dalam bungkusan teh cina)