
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Eckem Holdings Bhd, memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada harga 12 sen sesaham, tidak berubah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO).
- Gunakan hasil IPO untuk menggandakan kapasiti pembuatan dalam 12 hingga 24 bulan, menyokong peningkatan hasil dan keuntungan syarikat.
- Sebahagian dana akan dibelanjakan untuk membina gudang baharu dan menaik taraf kemudahan makmal bagi memperbaiki perkhidmatan pelanggan.
- Jangkaan permintaan kekal berdaya tahan disokong pertumbuhan pusat data AI, walaupun cabaran geopolitik, tekanan harga dan ketidakstabilan bekalan wujud.
Pada sesi pembukaan dagangan, lebih 12.18 juta saham pengedar bahan kimia industri itu diniagakan.
Menurut Pengarah Eksekutifnya, Jack Tan berkata hasil yang diperoleh daripada IPO akan dibelanjakan untuk pelan pengembangan syarikat terutamanya untuk tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
”Salah satu sasaran utama yang ingin kami capai ialah mengembangkan kapasiti pembuatan. Kami berharap dapat menggandakan kapasiti, sekali gus menyumbang secara positif kepada peningkatan hasil dan keuntungan syarikat.
”Pada masa yang sama, kami juga bercadang untuk menggunakan sebahagian daripada dana untuk membina gudang baharu serta menaik taraf kemudahan makmal sedia ada, supaya kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE di sini hari ini.
Sementara itu, beliau menjangkakan permintaan terhadap produknya kekal berdaya tahan, disokong oleh pertumbuhan pesat pusat data berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Mengenai persekitaran perniagaan, beliau berkata ketidaktentuan geopolitik, tekanan harga dan kestabilan bekalan kekal antara cabaran utama syarikat tahun ini.
“Kami sedang berusaha menstabilkan harga dan bekalan. Dengan keadaan perang yang dilihat semakin reda, ia dijangka memberi impak positif kepada untung rugi syarikat,” katanya.