PUTRAJAYA, 30 Ogos - Penjawat awam Gred 11 hingga Gred 56 akan menerima bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 bermula Januari 2023.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan berita gembira itu bersesuaian dengan kedudukan dan kewangan negara pada masa ini.
"Seramai 1.28 juta penjawat awam akan menerima manfaat ini dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.5 bilion.
"Sebagai contoh, sebelum ini kadar KGT bagi gred 11 adalah RM80, maka pada tahun 2023, beliau akan menerima kadar KGT asas sebanyak RM80 dan tambahan khas sebanyak RM100 menjadikan jumlah KGT diterima pada tahun 2023 adalah sebanyak RM180," katanya pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
(FOTO fail Facebook Jabatan Perdana Menteri)
Selain itu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) juga menambahkan lagi senyuman buat penjawat awam di seluruh negara.
"Pada Januari 2023, anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah akan menerima BKK berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara Kerajaan dan veteran tidak berpencen.
“Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam yang sentiasa memastikan jentera Kerajaan bergerak dengan berkesan, melaksanakan dasar dan menjayakan setiap aspirasi Kerajaan,” jelasnya.