fb fb fb fb fb

Kolaborasi 3 stesen radio rai ambang merdeka 2022

(Aktiviti mewarna oleh kanak-kanak sempena Ambang Merdeka@Sedili 2022)

KOTA TINGGI, 30 Ogos- 1,600 Jalur Gemilang ke empat sekolah di Sedili, sempena Ambang Merdeka @ Sedili 2022 diedarkan JOHORfm bersama NEGERIfm dan MELAKAfm.

Sebanyak 750 Jalur Gemilang diberi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tan Sri Jaafar Albar, 550 untuk Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, serta 150 di setiap Sekolah Sedili Kecil dan Sekolah Sedili Besar.

Ramlee Johari, Pengarah Jabatan Penyiaran Johor, berkata, "program seperti ini mendekatkan stesen-stesen radio negeri dengan pendengar, seterusnya memperkenal stesen radio milik RTM sebagai platform maklumat sahih dan tepat.

“Apabila kita melaksanakan aktiviti turun padang, secara tidak langsung mendekatkan JOHORfm dengan pendengar dan hasil jelajah hari ini, kami dapati ada sekolah-sekolah yang mempunyai kelab penyiaran sendiri.

"Jadi kita boleh gunakan platform ini untuk menyampaikan mesej-mesej kerajaan khususnya kepada rakyat di peringkat awal lagi (sekolah).” Ujar beliau semasa program berkenaan berlangsung.

(Antara aktiviti murid Sekolah Kebangsaan Seri Setia Jaya, Kota Tinggi)

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Sembilan, Kamal Roslim berpendapat, program kemerdekaan di sekolah-sekolah membantu menyemai semangat patriotik dan semangat cintakan negara dalam kalangan murid dan pelajar.

“Bila ada kolaborasi begini antara Johor dengan Melaka, matlamat kita hanya satu iaitu untuk menguar-uarkan kepada pendengar mengenai kepentingan RTM sebagai satu agensi penyiaran di Malaysia.

"Yang penting, apa yang kami cuba sampaikan mengenai kemerdekaan sampai kepada semua lapisan masyarakat.” Jelas Kamal Roslim yang ditemui semasa program.

Menurut Timbalan Pengarah Penyiaran Melaka, Fitri Al Ibni Nadzri pula, “Kita mahu sama-sama menyemarakkan rasa sayang kepada negara melalui Keluarga Malaysia Teguh Bersama, daripada situ semua rakyat bersatu hati tidak kira kaum akan bersama-sama Jabatan Penyiaran menguar-uarkan semangat ini.”

Antara aktiviti yang berlangsung sempena Ambang Merdeka@Sedili ialah Pertandingan Mewarna Kanak-Kanak, Persembahan Busking Kick Off Merdeka dan Pertandingan Memasak.

Kemuncak acara pada malam ini adalah Konsert Ambang Merdeka yang menampilkan penyanyi tempatan seperti Tajul, Ismail Izzani, Elyana, Nizam Laksamana dan P. Radhi.

Media Baharu