fb fb fb fb fb

Dunia Islam digesa bina kekuatan menyeluruh, tegaskan sokongan terhadap Palestin - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Himpunan Pendekar MADANI yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia di Seberang Perai. / Foto BERNAMA

BUKIT MERTAJAM, 16 September – Dunia Islam perlu membina kekuatan secara menyeluruh bermula daripada institusi keluarga, pengukuhan ekonomi, pembinaan akhlak sehinggalah kepada pertahanan negara masing-masing, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kekuatan umat Islam hanya dapat dibina melalui semangat kebersamaan, disiplin dan nilai murni yang menjadi asas ketahanan.

“Saya mewakili Malaysia, tetapi saya nyatakan pandangan dengan tegas. Saya mewakili semangat pendekar silat MADANI, mewakili semua guru silat yang ada dan menyatakan bahawa dunia Islam mesti kuat.

“Kuat dari rumah tangga kita, kuat dari negara kita, kuat ekonomi, kuat semangat dan roh Islam, kuat akhlak serta kuat pertahanan negara masing-masing,” katanya ketika berucap pada Himpunan Pendekar MADANI yang diadakan bersempena sambutan Hari Malaysia di Seberang Perai.

Pada Isnin, Perdana Menteri menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha, Qatar, bagi membincangkan keganasan berterusan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Sidang berkenaan diadakan susulan peningkatan serangan Israel yang bukan sahaja memusnahkan Gaza, tetapi turut mengancam negara jiran di rantau berkenaan.

Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia terus berdiri teguh bersama perjuangan Palestin serta menekankan bahawa negara Islam tidak wajar mengiktiraf atau menjalin sebarang bentuk hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk menolak kerjasama perdagangan dengan rejim berkenaan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI