fb fb fb fb fb

UPSI salur sumbangan RM420,000 kepada waris mangsa nahas bas Gerik

Prof Norkhalid menyampaikan sumbangan kepada bapa arwah Wan Nur Suhaila Wan Mohammad/ Foto UPSI

TANJUNG MALIM, 16 September - Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyalurkan sumbangan sebanyak RM420,000 kepada waris 42 pelajar yang terbabit dalam kemalangan di Gerik, Perak 9 Jun lalu.

Timbalan Naib Canselor ( Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin dalam satu kenyataan memaklumkan, sumbangan sebanyak RM10,000 disampaikan menerusi Tabung UPSI Prihatin Gerik bertujuan meringankan beban selain memberi semangat kepada pelajar untuk meneruskan pengajian meski berdepan kecederaan.

"Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung, di samping memberi semangat kepada pelajar untuk terus menuntut ilmu walaupun berdepan ujian kecederaan.

"Penyerahan ini adalah bukti keprihatinan seluruh warga UPSI terhadap pelajar dan keluarga yang terkesan dengan tragedi berkenaan. Saya terharu dengan ketabahan ahli keluarga serta pelajar yang terus kuat menghadapi situasi sukar ini," menurut kenyataan itu.

Sementara itu Kamariah Yusof, 60, ibu kepada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nur Izzati Maisarah Ibrahim Azizi yang mengalami kecederaan, mengucapkan penghargaan atas keprihatinan pihak universiti yang banyak membantu keluarga mereka sejak kejadian pada 9 Jun lalu.

Tambah Prof Dr Norkhalid Salimin; penyerahan itu bukti keprihatinan seluruh warga UPSI selain penghargaan kepada semua pihak yang tampil menyumbang kepada tabung berkenaan.

Sebelum ini sebanyak RM1.7 juta telah disalurkan hasil sumbangan pelbagai pihak kepada waris mangsa dan ia merupakan sumbangan berterusan kepada pihak terlibat.

Tabung UPSI Prihatin Gerik diwujudkan bagi mengumpul dana khas untuk membantu mangsa dan waris tragedi berkenaan, sebagai simbol solidariti universiti dan komuniti terhadap keluarga pelajar yang menjadi mangsa kemalangan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI