fb fb fb fb fb

PM tegaskan solidariti dunia Islam pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam di Doha

Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 September - Malaysia menegaskan pendirian serta kesungguhan untuk membela rakyat Palestin, di samping menyeru solidariti dunia Islam bagi menamatkan konflik bersenjata di bumi Gaza.

Menurut Pemerhati Hubungan Antarabangsa dan Politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof, itu antara penegasan utama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kenyataannya pada Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang berlangsung di Doha, semalam.

Kenyataan tersebut, katanya, turut memperlihatkan usaha berterusan Malaysia untuk mempertahankan prinsip kemanusiaan sejagat, selain membuktikan peranan aktif negara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.

“Pada pandangan saya, kenyataan PMX di Sidang Kemuncak Arab-Islam semalam memperlihatkan usaha Malaysia menegaskan pendiriannya yang konsisten, iaitu membela isu Palestin sambil menekankan kepentingan solidariti dunia Islam. Dari sudut hubungan antarabangsa, kenyataan itu bukan sekadar mesej simbolik, tetapi merupakan satu cara Malaysia menggunakan platform multilateralism untuk membawa suara kemanusiaan ke peringkat global,” kata beliau ketika dihubungi Berita RTM, di sini hari ini.

Kenyataan tersebut juga dilihat selari dengan dasar luar negara yang menekankan prinsip keadilan, keamanan dan nilai kemanusiaan sejagat.

Pada masa sama, membuktikan Malaysia mampu memainkan peranan yang signifikan dalam mencetuskan kesedaran global.

“Malaysia ingin menunjukkan bahawa walaupun kita negara yang kecil tetapi kita mampu memainkan peranan yang penting dengan mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa konflik di Asia Barat ini memberi kesan yang luas terhadap kestabilan politik, ekonomi dan keselamatan global.

"Ia juga memperkukuhkan Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang berpegang kepada nilai kolektif. Namun kita tidak boleh menafikan, ada cabaran yang besar dalam soal pelaksanaannya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Nur Ashikin menyifatkan bahawa pelaksanaan dasar bersama dalam kalangan negara Islam tidak mudah, disebabkan perbezaan kepentingan geopolitik.

“Dunia Islam ini terdiri daripada pelbagai kepentingan geopolitik yang berbeza, dan itu menjadikan usaha membentuk konsensus bersama agak sukar. Jadi, walaupun kenyataan PMX ini tegas dan jelas dengan prinsip, persoalannya...bagaimana ia boleh diterjemahkan kepada tindakan bersama yang konkrit,” jelasnya.

Bagaimanapun, kesinambungan peranan Malaysia amat penting sebagai pemangkin kepada kerjasama antara negara Islam.

Jelasnya, pendekatan konsisten seumpamanya mampu meletakkan Malaysia sebagai pemain penting dalam usaha mewujudkan kestabilan global.

“Apa yang penting, kita berharap Malaysia dapat terus memainkan peranan yang penting bukan sahaja sebagai suara kemanusiaan, tetapi menjadi pendorong kepada penghubung kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara Islam.

“Jika usaha ini dilihat berterusan, Malaysia bukan sahaja dilihat sebagai negara yang konsisten dalam memperjuangkan isu Palestin tetapi ia relevan dalam membentuk agenda keselamatan dan kestabilan antarabangsa,” ujar beliau.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN