IPOH, 24 Februari- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak belum menerima pemakluman rasmi mengenai kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning daripada parti Barisan Nasional (BN).
Sehubungan itu Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata penyerahan notis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijangka akan diadakan esok ditunda pada Jumaat ini.
"Kami masih menunggu pemakluman rasmi berkaitan kekosongan daripada parti yang berkenaan iaitu BN. Selepas itu baru saya boleh beri notis kepada SPR. Insya-Allah esok atau lusa," katanya ringkas ketika dihubungi RTM.
Kekosongan luar jangka DUN Ayer Kuning berlaku selepas penyandangnya Ishsam Shaharudin, 59 tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, Sabtu lalu akibat serangan jantung.
Allahyarham sebelum itu dikatakan rebah ketika menyertai perlawanan persahabatan bola sepak empat penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.
Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 sekali gus menewaskan empat calon lain.