KUALA LUMPUR, 24 Februari- Kementerian Digital memberi penekanan kepada pembangunan bakat digital melalui kerjasama dengan syarikat teknologi dan pemula.
Salah satu inisiatif utama adalah kerjasama antara MyDIGITAL Corporation dan 42Malaysia serta kerjasama dengan syarikat besar seperti AWS, Google dan Microsoft.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, menjelaskan 42Malaysia akan memberi impak besar kepada landskap digital Malaysia, menghasilkan pengamal digital profesional dan berkemahiran tinggi.
Sejak penubuhan kampus pertamanya di Kuala Lumpur pada 2021, 42Malaysia telah meluaskan operasi ke Iskandar Puteri dan merancang pembukaan kampus baharu di Pulau Pinang pada April 2025.
Sehingga kini, seramai 250 graduan telah dilatih dalam sektor utama seperti IT, Fintech, dan Automotif/Logistik, dengan 650 peserta lagi dijangka menyertai program tersebut tahun ini.
Selain itu, melalui kerjasama dengan Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) dan Microsoft, sebanyak 800,000 bakat dijangka dilatih dalam bidang kecerdasan buatan (AI), sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekonomi digital negara.