fb fb fb fb fb

133 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan terima Sijil Ketua Audit Negara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 24 Februari- Sebanyak 133 daripada 142 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2023 menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi memaklumkan, sembilan agensi menerima sijil dengan Pendapat Diubahsuai, termasuk lapan dengan Pendapat Berteguran dan satu dengan Pendapat Bertentangan.

"Sehingga 8 Januari, 142 daripada 145 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan bagi tahun 2023 telah dikemukakan dan selesai pensijilan oleh Ketua Audit Negara.

"Tiga agensi masih belum mengemukakan penyata kewangan mereka.

"Laporan juga mendapati 142 agensi Persekutuan memiliki aset berjumlah RM2.696 trilion berbanding liabiliti RM0.871 trilion, namun lima agensi mencatatkan liabiliti melebihi aset mereka," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu Wan Suraya berkata sepuluh syor dikemukakan Ketua Audit Negara Siri 1 2025 menerusi laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, ia bertujuan dikaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian dan tidak memberi pulangan sewajarnya.

Agensi Persekutuan perlu memberi perhatian serius termasuk bertindak menutup syarikat subsidiari berstatus dorman, atau tidak aktif, melebihi lima tahun.

Dalam masa sama, perlu tindakan proaktif untuk meningkatkan kawalan dalaman agensi dan menambah baik sistem kewangan, sejajar dengan keperluan piawaian perakaunan yang diterima pakai.

Ia bagi memastikan pelaporan kewangan adalah tepat dan pengurusan tatakelola kewangan yang berkesan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM