fb fb fb fb fb

Dua pendaki sesat ketika mendaki Bukit Janda Mandi ditemui selamat

Operasi mencari membabitkan anggota bomba dan polis

KEMAMAN, 28 Januari- Dua pendaki yang tersesat ketika menjalani aktiviti mendaki Bukit Janda Mandi di Kijal, Kemaman pagi semalam berjaya diselamatkan pasukan penyelamat petang semalam.
 
Pasukan mencari dan menyelamat yang menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 12.20 tengahari daripada salah seorang mangsa melancarkan operasi mencari sejurus selepas itu.
 
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah berkata, sejurus menerima panggilan pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian dengan kekuatan 10 anggota bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melakukan operasi pencarian.
 
Mohd Zailani berkata, kedua-dua pendaki berkenaan berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari kawasan itu kira-kira oukul 3.00 petang selepas operasi pencarian hampir empat jam.
 
Mohd Zailani, ketika dihubungi berkata, kedua-dua mangsa lelaki itu yang berumur 28 dan 29 tahun dikatakan mula mendaki bukit dan kawasan hutan berkenaan pukul 9.00 pagi.
 
Menurut Mohd Zailani, kejadian kes sesat di kawasan bukit berkenaan adalah yang kedua dilaporkan di mana pada Disember tahun lalu dua pendaki lain turut tersesat dan diselamatkan.
 
Katanya, laluan yang dipenuhi pokok rotan sedikit menyukarkan operasi dan semua mangsa ditemui selamat pada jarak kira-kira 500 meter dari pusat kawalan operasi.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE