fb fb fb fb fb

Dua pekerja melecur, seorang patah kaki kilang proses getah tiruan terbakar

JOHOR BAHRU, 25 Februari- Dua pekerja kilang memproses getah tiruan (mesin plastik) melecur, manakala seorang lagi patah kaki dipercayai terlibat dalam satu kejadian kebakaran di kawasan Perindustrian Tanjung Langsat, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata kebakaran di kilang Lotte Ube Synthetic Rubber Sdn Bhd kira-kira 5.16 petang itu, di percayai berpunca dari dua buah tangki simen yang meletup dan menyebabkan kerosakan pada tangki simen tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata kejadian tersebut, tidak melibatkan sebarang kemalangan nyawa.

“Dua orang pekerja telah mengalami kecederaan melecur di bahagian tangan dan seorang lagi patah kaki kiri, akibat terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri selepas terdengar bunyi letupan. 

“Kesemua mangsa telah dihantar ke hospital Penawar Pasir Gudang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau dalam pada itu berkata pihaknya  mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang awam, yang sentiasa menjadi mata dan telinga dalam memberi maklumat kepada pihak polis.

Terdahulu tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp video berdurasi 1.14 saat, memaparkan insiden kebakaran dengan api besar menjulang tinggi ke langit pada petang tadi, yang sekali gus menimbulkan kerisauan khususnya kepada penduduk di Pasir Gudang.

Media Baharu