FOTO AFP
DUBAI, 25 Februari- Pemain tenis Serbia, Novak Djokovic tewas pada suku akhir Kejuaraan Tenis Dubai sekaligus menyaksikan ranking nombor satu dunia miliknya hilang apabila dia mengalami kekalahan 6-4, 7-6 (7/4) di tangan pemain nombor 123 dunia Czech Jiri Vesely.
Aksi di Dubai adalah kejohanan pertamanya musim ini, dan kali pertama sejak diusir dari Australia, Djokovic perlu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir untuk cuba menghalang Daniil Medvedev daripada menggantikannya di kedudukan teratas.
Tetapi Vesely nyata bukan lawan mudah buat Djokovic apabila pemain kidal dari pusingan kelayakan itu meningkatkan rekod kemenangannya menentang Djokovic kepada 2-0 , keputusan yang akan menyaksikan Medvedev menjadi pemain pertama sejak 2004 di luar "Empat Nama Besar" - Djokovic, Rafael Nadal, Roger Federer dan Andy Murray – untuk menduduki ranking nombor satu pada hari Isnin.
Djokovic, yang telah menghabiskan rekod 361 minggu sebagai pemain nombor satu dunia, berkata pada permulaan kejohanan bahawa dia "akan menjadi orang pertama yang mengucapkan tahniah" kepada Medvedev, jika pemain Rusia itu berjaya dalam usahanya ke puncak.
Juara Terbuka AS, Medvedev, yang kini terlibat dalam kejohanan Acapulco, menjadi pemain Rusia ketiga selepas Yevgeny Kafelnikov dan Marat Safin untuk naik ke kedudukan nombor satu dunia.
Vesely, bekas pemain nombor satu remaja, telah memenangi lima perlawanan di Dubai setakat minggu ini, menjadikannya layak untuk mara ke separuh akhir peringkat jelajah pertamanya sejak Pune pada 2020.
Pemain berusia 28 tahun itu menang dalam satu-satunya pertemuan dengan Djokovic sebelum ini, menewaskan pemain Serbia itu di gelanggang tanah liat Monte Carlo pada 2016.- AFP