fb fb fb fb fb

Dua maut nahas kereta, treler di LPT1

TEMERLOH, 28 Julai- Dua maut manakala dua lagi mangsa terselamat dalam satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Kilometer 126 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) menghala ke Kuantan berhampiran hentian Rehat & Rawat (R&R) Temerloh, awal pagi tadi.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kemalangan membabitkan kenderaan jenis Produa Myvi dan sebuah lori treler.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Tan Wee Li, 39 tahun, dari Cheras, Kuala Lumpur dan Nur Susilawati Che Deraman, 35 tahun dari Sungai Lembing, Kuantan, menaiki kenderaan jenis Myvi.

Pihak bomba menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 2.47 pagi tadi sebelum enam pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Temerloh, bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Akibat kemalangan, pemandu dan penumpang dari kenderaan Myvi meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang treler selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan melibatkan sebuah treler dan Perodua Myvi berlaku di Kilometer 126 LPT1,
dekat Temerloh, kira-kira jam 2.47 pagi tadi / Foto JBPM

Mangsa yang maut dilaporkan tersepit sebelum dikeluarkan oleh pihak bomba dan penyelamat dengan menggunakan peralatan menyelamat.

Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Media Baharu