KUANTAN, 8 November - Kebakaran melibatkan dua lori tangki di kawasan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Batu 10, Jalan Gambang di sini pada Sabtu berjaya dikawal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang.
Menerusi kenyataan, Pengarah JBPM Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.50 petang dan jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas, tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian.
"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut. Kebakaran turut menyebabkan kerosakan pada sebahagian dinding bangunan berhampiran.
"Kejadian dipercayai berlaku ketika proses pemindahan minyak dari lori tangki ke tangki pengisi pesawat sedang dijalankan.
"Operasi pemadaman dikendalikan tujuh anggota dari BBP Taman Tas menggunakan satu aliran salur bantu mula dan satu gulung hos sepanjang 100 kaki dengan satu pancutan air daripada tangki pam jentera bomba, selain dibantu enam anggota BBP Indera Mahkota dan 38 anggota bomba TUDM yang menggunakan teknik pemadaman buih," katanya.
Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3.23 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.20 petang.