fb fb fb fb fb

Dua pencari kepah lemas dihanyut arus deras, seorang terselamat

(Mayat kedua-dua mangsa ditemui terapung selepas dihanyutkan arus air ketika mencari kepah di 
pantai berhampiran Esplanade Buntal,tengah malam tadi/PGO Bomba Sarawak)

KUCHING, 11 Julai- Malang tidak berbau apabila tiga lelaki yang sedang mencari rezeki di tepi pantai berakhir tragedi apabila dihanyutkan arus deras di Esplanade Buntal, Kampung Buntal, di sini tengah malam tadi.

Dua lelaki meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lagi mangsa dapat menyelamatkan diri.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak melaporkan mangsa maut dikenali sebagai Amin Bin Umar, 39 tahun dan Awang Khairul Aziq bin Chula, 25 tahun.

Pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.40 pagi mengenai kejadian orang dihanyutkan arus di lokasi tersebut.

Tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya digerakkan dan dibantu dua pegawai bomba bantuan serta Pasukan Bomba Sukarela Kampung Buntal.

Mangsa pertama dijumpai pada 3.30 pagi pada jarak 400 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang manakala mangsa kedua dijumpai pada 3.42 pagi

Kedua-dua dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.


(Mayat salah seorang pencari kepah ditemui terdampar di pantai Kampung Buntal, awal pagi tadi/ Foto JBPM)

Media Baharu