MARAN, 12 Mac- Dua lelaki maut selepas lori yang dipandu mereka bertembung di Kilometer 67 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Luit, Maran.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
"Susulan itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Setiba di lokasi kejadian, terdapat seorang lelaki tersepit di dalam lori muatan sawit manakala seorang lagi lelaki yang membawa lori menghantar barang tercampak keluar daripada kenderaan tersebut. Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat," katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.